ISU-ISU DALAM KAJIAN WACANA

Tahap Penerimaan dalam Kajian Analisis Wacana

Abstrak
Tahap penerimaan merupakan sesuatu yang penting dalam wacana kerana tahap penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar atau pembaca terhadap sesebuah teks. Tahap penerimaan ini dilihat dalam dua keadaan iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah. Oleh itu, analisis ini akan menganalisis dengan lebih terperinci tentang tahap penerimaan tinggi dan juga tahap penerimaan rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, analisis ini juga akan melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan kerana dilihat berupaya mempengaruhi tahap penerimaan seseorang pembaca atau pendengar. Hal ini disebabkan, tahap kebolehbacaan berkaitan dengan aspek seperti proses membaca, iaitu kefasihan dan pemahaman. Tambahan pula, analisis ini juga turut menyelitkan langkah-langkah untuk mengatasi setiap permasalahan yang mengakibatkan sesuatu ayat itu dikategorikan sebagai penerimaan rendah.
Kata kunci : wacana, tahap penerimaan, penerimaan tinggi, penerimaan rendah, tahap kebolehbacaan,

Pendahuluan
Menurut Henry Guntur Tarigan, wacana merupakan satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang disampaikan secara lisan atau tertulis. Hal ini bermaksud setiap ayat, cerita, dialog mahupun buku seharusnya mempunyai awal dan akhir iaitu dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan.
Asmah Haji omar pula, mendefinisikan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat. Hal ini bermakna, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab, buku dan sebagainya. Tambahan pula turut memperlihatkan kesatuan dan hubungan antara butir-butir fikiran dan perkembangan akaliah yang terdapat di dalamnya. Selain itu, menurut Sanat Md. Nasir (2002), wacana merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat yang baik secara fonik mahupun grafik. Tambah beliau lagi, wacana bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa tersebut. Hal ini menyamai dengan maksud analisis wacana. Analisis teks, linguistik teks ataupun linguistik wacana.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. dalam Analisis Wacana (2012: 104) analisis wacana merujuk kepada usaha mengkaji organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat dan klausa. Wacana merupakan rakaman kebahasaan yang menyentuh tentang peristiwa komunikasi. Seterusnya, analisis wacana juga turut meneliti penggunaan bahasa dan konteks serta dianggap penggunaan bahasa dalam konteks yang membawa makna. Hal ini demikian kerana, wacana akan wujud apabila berlakunya interaksi antara penulis dengan pembaca jika melibatkan karangan atau komunikasi bertulis.
Analisis wacana disebut juga sebagai kajian wacana, linguistik teks atau tatabahasa wacana. Bidang ini sebenarnya merealisasikan konsep unit tatabahasa yang tertinggi, terbesar atau terlengkap sebagai korpus bahasa yang dikaji. Seterusnya, analisis wacana merupakan cabang ilmu bahasa yang dikembangkan untuk menganalisis suatu unit bahasa yang lebih besar daripada kalimat (Soeseno, 1992: 1). Tambahnya lagi, analisis wacana merujuk kepada usaha dalam mengkaji organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat dan klausa. Kajian yang akan dilakukan ini ialah tahap penerimaan dalam kajian analisis wacana. Oleh itu, pengkaji akan menjelaskan secara terperinci berkaitan tajuk tersebut.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. dalam Tatabahasa Wacana (2012: 33) tahap penerimaan merupakan penilaian yang dibuat oleh penulis terhadap kebolehan membaca mesej yang disampaikan. Disamping itu, menilai pemahaman pendengar atau pembaca terhadap sesuatu teks. Pembaca atau pendengar berfungsi untuk menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas atau tidak. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa pendengar atau pembaca merupakan penerima wacana. Tahap penerimaan boleh dibahagikan kepada dua iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah. Penerimaan tinggi berlaku sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Penerimaan rendah pula terjadi sekiranya sesuatu ayat tidak bermakna dan tidak dapat difahami oleh pembaca atau pendengar . Jika hal ini berlaku, ayat tersebut tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana.

Metodologi Kajian
Kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan. Pengkaji memulakan langkah pertama dengan membuat pelbagai pembacaan ke atas buku-buku rujukan yang berkaitan dengan tajuk yang dikaji iaitu Tahap Penerimaan dalam Kajian Analisis Wacana di Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris. Antara bahan bacaan tersebut ialah Tatabahasa Wacana, Analisis Wacana, Kamus Dewan Edisi Keempat dan lain-lain. Selain itu, maklumat daripada laman sesawang juga turut diambil dan digunakna untuk menambah maklumat yang sedia ada.

Objektif  Kajian
Analisis yang dilakukan ini merangkumi objektif-objektif seperti yang berikut :
i) Mengenal pasti tahap penerimaan sama ada tinggi atau rendah dalam sesebuah wacana
ii) Melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan
iii) Mengenal pasti langkah-langkah untuk mengatasai tahap penerimaan rendah.

Batasan Kajian
Analisis ini hanya tertumpu kepada bidang analisis wacana sahaja kerana tahap penerimaan merupakan aspek yang terdapat dalam bidang analisis wacana. Analisis ini tertumpu kepada dua tahap penerimaan iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan pembaca atau pendengar terhadap sesebuah teks dan langkah yang sesuai untuk mengatasai setiap permasalahan bagi penerimaan rendah.

Perbincangan/ Analisis
Analisis ini akan membincangkan dengan lebih lanjut dua jenis penerimaan iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, analisis ini akan melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan. Tambahan pula, analisis ini akan melihat cadangan-cadangan yang sesuai dalam mengatasi masalah penerimaan rendah.

Tahap Penerimaan
Wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam pertuturan dan penulisan. Hal ini memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek komunikasi dan juga konteks. Selain itu, wacana juga merupakan satu rententan ujaran yang berkaitan antara satu sama lain mengikut urutan kalimat-kalimat.
Menurut Idris Aman (2010), kebolehterimaan bermaksud idea, gagasan atau mesej yang diutarakan dalam wacana mesti mampu difahami dan diikuti oleh khalayaknya. Oleh itu, urutan ayat atau teks dalam wacana bertulis atau ujaran dalam tuturan perlu diberi perhatian. Jikalau idea itu sukar atau mujarad pewacana wajar memudahkan cara penyampaiannya dengan memperbanyak keterangan, contoh, huraian, definisi dan lain-lain.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012: 95), penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan. Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun pembaca terhadap sesebuah teks. Pada tahap penerimaan, seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas ataupun tidak. Oleh sebab itu, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana. Seterusnya, tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Tahap penerimaan dalam analisis wacana ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu :

Penerimaan Tinggi
Penerimaan tinggi bermaksud sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan oleh penutur atau penulis sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan akan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Selain itu, penerimaan yang tinggi terhadap sesuatu wacana yang diujarkan menunjukkan keberhasilan sesuatu penghasilan wacana tersebut. Hal ini kerana, penerimaan tinggi tersebut menunjukkan wacana tersebut mendapat tarikan pendengar atau pembaca kerana mudah difahami dengan jelas. Di samping itu, tahap penerimaan tinggi sekiranya seseorang penulis atau pembicara mengembangkan idea topik dengan sempurna dan lengkap bagi memudahkan pembaca memahami tujuan penulisan dan berpuas hati dengan pembacaan agar mereka dapat memahami wacana yang hendak disampaikan. Contohnya seperti yang berikut :
Autistik ini dikenali sebagai neurodevelopmental disorder iaitu satu kecelaruan dalam pembentukan otak. Fungsi dan bentuk bahasa individu autistik adalah agak terkebelakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seumur dengannya. Individu autistik kurang berpotensi untuk membentuk fleksibiliti dalam bidang penggunaan bahasa. Pertuturan mereka berrgantung kepada hafalan. Tajuk perbualan mereka terhad walaupun mereka mempunyai perbendaharaan kata yang luas. Masalah kata ganti nama adalah masalah yang sering terjadi dalam pertuturan individu autistik. Kerencatan akal yang dialami oleh kanak-kanak autistik adalah lebih teruk jika diukur dari sudut psikologikal, di mana tindak balas terhadap rangsangan adalah perlahan.
        Berdasarkan contoh ayat di atas adalah dianggap sebagai wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut bermakna dan memperlihatkan saling berkaitan antara suatu ayat dengan suatu ayat yang seterusnya. Secara tidak langsung, memberikan kefahaman dan kejelasan kepada pembaca atau pendengar terhadap sesuatu teks. Berdasarkan ayat tersebut ayat topiknya ialah autistik. Jika dilihat ayat seterusnya menerangkan tentang ciri-ciri bagi individu yang mengalami autistik. Ayat di atas saling berkesinambungan antara ayat. Ayat tersebut dilihat menepati tujuan seseorang penulis dalam sesebuah wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut mempunyai makna dan mempunyai kesinambungan antara ayat-ayat. Oleh itu, pembaca dapat memahami tujuan penulis tersebut. Hal ini menunjukkan tahap tujuan seseorang penulis adalah sama tinggi dengan tahap penerimaan pembaca apabila pembaca dapat memahami sesebuah teks yang ditulis oleh penulis ayat ini. Contoh ayat yang lain boleh dilihat adalah berdasarkan ayat yang berikut:
  Pokok kari atau nama saintifiknya ialah Murraya Koenigii merupakan sejenis pokok yang kecil, malar hijau dan ketinggiannya boleh mencapai 3-5 meter. Batangnya tidak begitu lurus, berdahan banyak dan bercabang-cabang. Batang pokok kari ini adalah jenis kayu lembut ketika muda dan menjadi kayu yang keras apabila dewasa. Daun kari mempunyai susunan yang bertentangan dengan bentuk epiliptik berukuran 2-3 cm panjang dan 1.0-1.5 cm lebar. Daun kari ini akan membentuk silara yang agak rimbun. Daun kari ini mempunyai bunga kecil yang berwarna putih.
            Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini kerana, ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca tentang sesuatu perkara iaitu berkaitan dengan pokok kari. Tahap penerimaan seseorang pembaca terhadap teks tersebut dapat dinilai. Hal ini kerana, pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut. Oleh sebab itu, menunjukkan bahawa tahap tujuan seseorang penulis adalah sama dengan tahap penerimaan pembaca. Antara contoh lain juga dapat dilihat di bawah ini :
Kanak-kanak yang menghidapi Sindrom Down mempunyai ciri-ciri fizikal yang unik kerana mempunyai iras muka yang hampir sama. Mereka juga mempunyai pangkal hidung yang kemek. Mata mereka adalah sepet iaitu bahagian luarnya naik ke atas dan terdapat lipatan pada kedua-dua sisi hidung yang menutupi bahagian dalam mata. Selain itu, mata mereka sentiasa berair dan kelihatan merah. Saiz mulut mereka adalah kecil dan sentiasa terbuka serta tidak tertutup dengan rapat. Tambahan pula, saiz lidah yang tebal, kasar dan pendek menyebabkan lidah penghidap Sindrom Down selalu terjelir. Di samping itu, mereka mempunyai bentuk badan yang gempal, rendah dan agak bongkok. Mereka juga majoritinya berambut lurus dan lembut.

            Berdasarkan contoh ayat di atas penulis sebenarnya ingin menyampaikan maklumat kepada pembaca atau pendengar berkaitan dengan ciri-ciri fizikal kanak-kanak yang menghadapi Sindrom Down. Jika dilihat ayat tersebut mempunyai makna. Hal ini kerana ayatnya mempunyai perkaitan dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan oleh pembaca dan pendengar terhadap teks ini dapat dinilai. Hal ini kerana, pembaca atau pendengar dapat memahami tujuan penulis menulis sesebuah wacana tersebut. Contoh yang lain adalah seperti di bawah:

Obesiti atau kegemukan menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh membawa kepada kematian. Penyakit-penyakit yang dihidapi kesan daripada obesiti boleh merendahkan kualiti hidup penghidapnya. Antara penyakit-penyakit yang disebabkan oleh obesiti ialah Dyslipidaemia, kegagalan jantung, Osteoarthritis, dan lain-lain lagi.

            Ayat di atas menjelaskan maklumat mengenai implikasi kegemukan atau obesiti. Ayat di atas merupakan laras sains kerana menggunakan istilah-istilah sains seperti dyslipidaemia, Osteoarthritis dan lain-lain. Ayat ini mempunyai makna dan memenuhi sesebuah wacana. Hal ini demikian kerana, setiap ayat yang ditulis mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan bagi ayat ini adalah dapat dinilai kerana pembaca atau pendengar dapat memahami dengan jelas apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Penerimaan Rendah

Penerimaan rendah merujuk kepada sesuatu ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur yang tidak bermakna. Sekiranya ayat tersebut tidak membawa apa-apa makna maka ayat tersebut akan sukar difahami oleh pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat seperti itu tidak boleh dikategorikan sebagai sesebuah wacana. Sekiranya fenomena ini terjadi maka tahap penerimaan pembaca atau pendengar terhadap sesebuah ayat adalah rendah. Antara contoh ayat tersebut adalah seperti yang berikut:

Nur Sakinah merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. Dia selalu dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu.

            Berdasarkan ayat di atas adalah tidak boleh dianggap sebagai sebuah wacana. Hal ini kerana ayat tersebut tidak bermakna dan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Ayat di atas merupakan ayat yang berlawanan dengan ayat seterusnya. Jika dilihat ayat tersebut menerangkan bahawa ‘Nur Sakinah seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya’ adalah berlawanan dengan ‘Dia selalu dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu’. Hal ini bermakna ayat tersebut tidak membawa makna dan sekaligus menyebabkan tujuan wacana ayat tersebut tidak jelas.
Apabila keadaan ini berlaku sudah pasti akan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Hal ini telah mengakibatkan pembaca atau pendengar tidak memahami sesuatu ayat yang ingin disampaikan dengan jelas dan tepat. Tambahan pula, ayat tersebut tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Di samping itu, keadaan ini akan menyebabkan tahap tujuan seseorang penulis atau penutur tidak sampai kepada tahap penerimaan seseorang pembaca dan pendengar kerana pembaca atau pendengar tidak memahami makna ayat tersebut serta tujuan penulis atau penutur menyampaikan ayat tersebut. Oleh itu, ayat tersebut dianggap mempunyai tahap penerimaan yang rendah dan tidak digolongkan sebagai sebuah wacana yang utuh. Antara contoh ayat yang lain adalah seperti yang berikut:
Maslinda seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Dia selalu dipandang serong oleh masyarakat kerana selalu memakai pakaian yang menjolok mata.

Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa ayat tersebut membawa makna yang bertentangan dengan dengan makna ayat yang kedua. Ayat yang disampaikan kepada pembaca atau pendengar tersebut adalah tidak bermakna. Ayat di atas tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain. Ayat itu sepatutnya apabila Maslinda seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat maka sudah tentulah dia tidak akan memakai pakaian yang menjolok mata sehinggakan masyarakat memandang serong terhadapnya. Jika wujudnya pertentangan seperti yang berlaku pada ayat ini akan mengakibatkan pembaca atau penutur keliru dalam memahami makna sebenar ayat tersebut. Ayat seperti ini tidak dianggap sebagai sebuah wacana. Keadaan ini akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap ayat ini menjadi rendah. Contoh yang seterusnya :

Leman seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik. Di sering melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya.

          Contoh ayat di atas menunjukkan dua ayat yang mengandungi makna yang bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya penulis atau penutur menyampaikan sesuatu ayat yang sebegitu maka pendengar atau pembaca akan menghadapi kesukaran untuk memahami makna ayat tersebut dengan jelas. Kekeliruan makna ayat tersebut akan menyebabkan ayat ini tergolong dalam tahap penerimaan yang rendah. Ayat di atas sepatutnya apabila Leman seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik maka sudah tentulah dia tidak akan melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya. Namun, ayat tersebut berlawanan antara ayat yang pertama dengan ayat yang kedua. Contoh berikutnya ialah:

Persembahan deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh. Persembahannya begitu hambar dan membosankan.

Berdasarkan contoh di atas ayatnya juga tidak berkesinambungan dan tidak ada perkaitan antara ayat yang pertama dengan ayat yang kedua. Sepatutnya apabila persembahan deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh maka sudah tentu persembahannya tidak hambar dan tidak membosankan. Contoh ayat tersebut telah memberi kekeliruan makna kepada pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat yang ingin disampaikan oleh penutur atau penulis tidak jelas maknanya. Oleh sebab itu, ayat ini digolongkan sebagai tahap penerimaan yang rendah kerana tahap tujuan penulis atau penutur tidak sampai dengan jelas kepada pembaca atau pendengar

Perkaitan Tahap Penerimaan dengan Tahap Kebolehbacaan

Menurut Marohaini Yusoff  (2014: 22) mendefinisikan bahawa kebolehbacaan merupakan satu konsep yang merujuk pada tahap atau darjah susah senangnya sesuatu bahan untuk dibaca. Bahan yang susah untuk dibaca dikatakan mempunyai tahap kebolehbacaan tinggi. Manakala bahan yang senang dibaca dikatakan mempunyai kebolehbacaan yang rendah. Tahap kebolehbacaan sesuatu bahan bacaan diukur apabila bahan itu dibaca. Oleh itu, tahap kebolehbacaan sesuatu bahan itu berbeza-beza, bergantung pada tahap kebolehan membaca seseorang pembaca. Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012: 98), tahap penerimaan yang melibatkan seseorang pembaca atau pendengar adalah bergantung kepada tahap kebolehbacaan mereka.
            Kebolehanbacaan adalah berkaitan dengan beberapa aspek seperti proses membaca iaitu pemahaman atau kefasihan. Sekiranya, seseorang pendengar atau pembaca menguasai aspek tersebut maka secara tidak langsung akan mempengaruhi sesuatu tahap penerimaan terhadap bahan yang disampaikan oleh penulis atau penutur. Menurut Marohaini Yusoff (2014: 24), tahap kebolehbacaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah perbendaharaan kata, pembentukan ayat atau jenis ayat dan panjang pendek ayat serta perkataan. Selain itu, penggunaan konsep-konsep, saiz dan stail cetakan, penggunaan dan penyusunan bahan visual atau grafik, bentuk penulisan, penyusunan idea atau isu minat pembaca dan pengetahuan latar pembaca juga mempengaruhi tahap kebolehbacaan.
            Pemahaman terhadap sesuatu bahan bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak tetapi juga turut bergantung kepada kelancaran dan kefasihan serta tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Hal ini merupakan suatu elemen yang sangat penting supaya pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah wacana yang disampaikan oleh seseorang penutur atau penulis. Oleh itu, tahap penerimaan sesuatu bahan yang dibaca sudah tentu akan menjadi tinggi. Marohaini Yusuff (2014: 24-25), mengatakan bahawa minat dan pengetahuan serta pengalaman pembaca merupakan faktor yang tidak dapat dikawal. Contohnya, bahan X mungkin dapat menarik minat pembaca atau pendengar A tetapi membosankan pembaca atau pendengar B. Apabila situasi ini berlaku menunjukkan bahawa kebolehbacaan bahan X adalah rendah bagi pembaca atau pendengar A dan tinggi bagi pembaca atau pendengar B. Lazimnya, seseorang itu mendapati pembacaan sesuatu bahan menyeronokkan kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan dan pengalaman lalu yang dapat dikaitkan dengan apa yang dibaca.
Jika dilihat berdasarkan contoh situasi tersebut tahap kebolehbacaan sememangnya dapat dikaitkan dengan tahap penerimaan. Sekiranya, kebolehbacaan pembaca atau pendengar rendah maka sudah tentulah tahap penerimaan terhadap sesebuah wacana adalah tinggi kerana sesebuah wacana tersebut dapat memberi kefahaman, kefasihan dan juga berupaya menarik minat mereka. Manakala, jika kebolehbacaan pembaca atau pendengar tinggi terhadap sesuatu bahan maka tahap penerimaan mereka akan menjadi rendah kerana bahan tersebut tidak memberi kefahaman, tidak menarik minat mereka dan menimbulkan kekeliruan kepada mereka.
Selain itu, aspek kebolehbacaan turut menegaskan tentang masalah pemahaman terhadap pengetahuan makna dan juga frasa serta boleh menghubungkan bahan-bahan yang dibaca dengan pengalaman-pengalaman seseorang. Oleh itu, aspek kebolehbacaan oleh seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting supaya seseorang itu dapat membaca sesebuah wacana dengan baik dan seterusnya dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis.

Cadangan Mengatasi Tahap Penerimaan Rendah

Masalah tahap penerimaan rendah ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa aspek tertentu. Walau bagaimanapun, setiap masalah atau kerumitan yang berlaku sudah tentulah mempunyai langkah dan cara yang sesuai dalam mengatasi permasalahan itu. Apabila tahap penerimaan rendah dapat diatasi dengan baik maka sudah pastilah wacana yang disampaikan itu menjadi lebih bermakna dan secara tidak langsung komunikasi yang diwujudkan akan lebih efektif serta berkesan. Seperti yang diketahui, sesebuah teks yang dianggap baik apabila tujuan penulis sama dengan penerimaan pembacanya. Sekirannya tujuan pembaca atau pendengar ingin mendapatkan sesuatu maklumat maka tujuan penulis atau penutur mestilah sama dengan tujuan pembaca atau pendengar tersebut.
            Contohnya, pembaca ingin mendapatkan maklumat mengenai obesiti atau kegemukan maka pembaca tersebut hendaklah mendapatkan dan mencari wacana atau teks seperti buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan obesiti atau kegemukan. Seandainya, pembaca tersebut mencari dan membaca bahan-bahan ilmiah yang tidak berkaitan dengan tujuannya itu seperti buku politik, buku masakan dan lain-lain sudah tentulah tahap penerimaannya rendah dan secara tidak langsung komunikasi antara pembaca yang ingin mendapatkan maklumat mengenai obesiti atau kegemukan dengan penulis politik dan masakan tidak berkesan.
            Seterusnya, bahasa yang digunakan oleh penulis atau penutur mestilah bahasa yang dapat difahami dengan jelas oleh pembaca atau pendengar. Misalnya, penulis atau penutur menggunakan bahasa Melayu ketika komunikasi berlaku  maka pembaca atau pendengar haruslah memahami bahasa Melayu tersebut. Hal ini barulah tahap penerimaan akan menjadi tinggi kerana pembaca atau pendengar faham dengan jelas melalui penggunaan bahasa Melayu tersebut. Sekiranya, penutur menggunakan bahasa Melayu kepada mereka yang tidak memahami mahir dalam bahasa Melayu atau tidak faham bahasa Melayu sudah pastilah tahap penerimaan tersebut akan menjadi rendah. Oleh itu, bahasa yang digunakan oleh golongan penutur dan penulis mestilah difahami oleh golongan pendengar atau pembaca. Bahasa yang berlawanan dengan bahasa yang difahami oleh pembaca atau pendengar akan mengakibatkan tahap penerimaan rendah.
            Selain itu, penulis atau penutur perlulah menggunakan ayat yang mudah difahami oleh pembaca atau pendengar. Penulis atau penutur perlu memastikan ayatnya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Penggunaan ayat yang ringkas, tidak berbelit-belit dan tidak mengelirukan pembaca atau pendengar perlu dititik beratkan atau ditekankan oleh penulis atau penutur dalam memastikan tahap penerimaan tinggi. Tambahan pula, penutur atau penulis sememangnya digalakkan untuk menggunakan ayat yang padat tetapi ringkas.
            Penulis atau penutur juga perlulah bijak dalam mengembangkan idea topiknya dengan sempurna dan lebih bermakna. Oleh itu, penulis atau penutur mestilah mempunyai pengetahuan dalam tautan dan runtutan. Hal ini kerana, tautan dan runtutan berupaya untuk mengembangkan sesuatu idea serta dapat memastikan penulisan tersebut mempunyai pertalian. Apabila penulis atau penutur dapat mengembangkan idea topiknya dengan baik maka kesinambungan atau perkaitan antara satu ayat ke satu ayat yang lain akan terwujud. Hal ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada pembaca atau pendengar dan terhasilah tahap penerimaan yang tinggi.
           
Rumusan

Secara kesimpulannya, wacana ini merupakan unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat. Wacana bukan sahaja disampaikan melalui tulisan malahan melalui lisan iaitu komunikasi. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan lain-lain lagi. Hal ini menggambarkan bahawa hubungan dan perkembangan idea secara berturutan dan lengkap. Selain itu, wacana dikatakan utuh agar pembentukkannya dapat memberi kejelasan dan kefahaman kepada pembaca atau pendengar. Oleh itu, dapat dilihat bahawa sesebuah wacana yang dihasilkan oleh seseorang penutur mahupun penulis berupaya mempengaruhi tahap penerimaan sama ada tinggi ataupun rendah.
            Penerimaan tinggi terhadap sesebuah wacana berlaku apabila seseorang pembaca atau pendengar memahaminya dengan jelas dan apabila tahap tujuannya sama dengan tahap penerimaan. Tambahan pula, wacana yang tidak menimbulkan kekeliruan dan tidak menggunakan ayat yang berbelit juga menjadi faktor kepada penerimaan tinggi. Penerimaan rendah pula berlaku apabila ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur tidak bermakna dan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Oleh sebab itu, sesuatu ayat yang disampaikan oleh penutur atau penulis tidak dapat difahami dengan jelas. Apabila situasi ini berlaku ayat tersebut tidak digolongkan sebagai sebuah wacana.
            Selain itu, tahap penerimaan ini juga dilihat amat berkait rapat dengan tahap kebolehbacaan kerana, kebolehbacaan ini berkait dengan pemahaman dan kefasihan. Hal ini bermaksud jika seseorang pembaca atau pendengar itu mempunyai tahap kebolehbacaan yang baik maka sudah pastilah mereka dapat memahami sesebuah wacana dengan jelas. Selain itu, jika dilihat masih lagi terdapat penghasilan ayat yang tidak utuh dari segi wacananya yang mengakibatkan tahap penerimaan menjadi rendah. Oleh itu, langkah-langkah atau cara mengatasi masalah tahap penerimaan rendah yang dinyatakan dalam analisis ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk memastikan tahap penerimaan menjadi tinggi.


Rujukan

Hendry Tarigan. (1995). Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012).
Tatabahasa Wacana. Perak : Emeritus Publications.   

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012).
Analisis Wacana. Perak : Emeritus Publications.

Mahoraini Yusuff. (2014). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman: Memantapkan
Pembelajaran di Sekolah Menengah. Selangor: PTS Akademia     

Sanat Md. Nasir. (2002). Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Wacana (2012). Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada wacanaq.blogspot.com

Wacana (2009). Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada http://pelangi petang89. Blogspot.com/
            2009/07/wacana.html

           



No comments:

Post a Comment